Lawatan Kerja Yang Berusaha Pengarah Pertanian Sarawak ke Ladang Durian Hexamax Enterprise
Disiarkan pada 22 Dec 2025
Sumber Berita: Jabatan Pertanian Sarawak


Pada 22 Disember 2025, satu lawatan kerja Yang Berusaha Pengarah Pertanian Sarawak, Encik Dominic Anak Chunggat bersama beberapa pegawai Jabatan telah diadakan ke Ladang Durian Hexamax Enterprise, Kampung Paya Panjang, Muar, Johor.
Pemilik ladang durian ini, Encik Tee Ming Pang, merupakan salah seorang "Pengusaha Johor Future Agropreneur" yang telah memulakan projek tanaman durian pada tahun 1978 dengan keluasan 1.4518 hektar. Pada masa kini, beliau memiliki tanah khas untuk penanaman durian seluas 12 hektar. Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 2,000 pokok durian pelbagai varieti di ladang tersebut, antaranya Musang King D197, D200 dan Muar D13. Varieti durian Muar D13 merupakan varieti tempatan menjadi fokus utama di kawasan tersebut berikutan permintaan yang tinggi di pasaran China dan Taiwan.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mendapatkan maklumat mengenai kaedah pengurusan kebun durian yang baik bermula dari aktiviti pembangunan, penjagaan sehingga pasca tuai.
Antara info menarik yang dikongsi pengusaha tersebut kepada ahli rombangan adalah seperti berikut:
1) Kepentingan Pengairan dan Saliran yang Baik dalam Kebun
Pengairan dan saliran yang teratur amat penting bagi memastikan kesuburan serta kesihatan tanaman. Kedalaman parit ladang hendaklah ditentukan berdasarkan paras air (water level). Sistem perparitan yang baik dapat mengelakkan penyakit seperti reput akar dan kanker batang yang berpunca daripada air bertakung. Dalam masa yang sama, kualiti dan tekstur buah dapat ditingkat dengan tahap kemanisan buah (Brix) yang konsisten walaupun pada musim tengkujuh.
Selain itu, kebun tersebut turut dilengkapi dengan sistem pengairan menggunakan sprinkler, yang membantu memastikan kelembapan tanah sentiasa mencukupi untuk pertumbuhan tanaman secara optimum.
2) Cantuman Dewasa
Bagi mendapatkan varieti yang diingini, En. Tee telah melaksanakan cantuman pada pokok dewasa menggunakan sion yang dipilih. Kaedah ini membolehkan satu pokok menghasilkan beberapa varieti dalam tempoh yang singkat.
3) Takungan Perangkap Serangga (Moth / Lalat Buah)
Setiap perangkap serangga jenis moth dan lalat buah dipasang pada jarak 60 kaki antara satu sama lain. Kaedah ini membantu mengawal populasi serangga perosak secara berkesan serta mengurangkan risiko kerosakan pada tanaman.
4) Jentera Skylift
Penggunaan jentera skylift adalah penting bagi melaksanakan beberapa aktiviti penyelenggaraan pokok, termasuk Membersihkan batang pokok daripada kulat (mold), Mendapatkan mata tunas untuk tujuan cantuman, Menyokong dan mengikat tangkai buah bagi mengelakkan buah jatuh atau pecah dan Melaksanakan pemangkasan dahan untuk memastikan pertumbuhan pokok lebih teratur.
5) Dron
Pengusaha telah dibekalkan sebuah dron oleh Jabatan Pertanian Negeri Johor bagi tujuan melaksanakan aktiviti kawalan makhluk perosak dan penyakit. Penggunaan dron ini membolehkan pemantauan kawasan kebun dilakukan dengan lebih efisien serta meningkatkan keberkesanan langkah kawalan secara menyeluruh.
Selain itu, Pengarah Pertanian Sarawak juga berkesempatan untuk melawat pusat pemprosesan durian yang dimiliki oleh pengusaha tersebut. En. Tee turut menghasilkan beberapa produk sendiri bagi tujuan eksport ke China dan Taiwan, iaitu Buah sejuk beku melalui teknik blast freeze, Durian pulp dan Durian paste.
Turut hadir ialah En. Muhammad Faizal Bin Saidi, Pegawai Pertanian Daerah Muar bersama pegawai-pegawai beliau yang lain.
Serta, turut hadir bersama Pengarah di lawatan tersebut pegawai-pegawai pertanian Jabatan Pertanian Sarawak, ialah En. Syahalizul Bin Sulaiman Pegawai Pertanian Bahagian Sri Aman,En. Amirul Fikri Bin Jemali Pegawai Pertanian Bahagian Limbang,En. Amir Ahmad Bin Joha Pegawai Pertanian (Pembangunan)Bahagian Kuching, En. Ahmad Zulkifli Bin Said Pegawai Pertanian dari Bahagian Jaminan Kualiti Tanaman) dan Cik. Siti Nur Atiqah Binti Abd, Manan Pegawai Pertanian dari Bahagian Perancangan.
Sekian, terima kasih.



