Agrobank perkasa komuniti tani menerusi kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak

Disiarkan pada 22 Apr 2025
Sumber Berita: TVS

Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada majlis menandatangani MoU antara Agrobank dan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak di Kuching, hari ini. Foto Agrobank
 

KUCHING, 22 April: Agrobank terus komited memperkasakan sektor pertanian di Sarawak menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), yang bertujuan menyediakan sokongan kewangan menyeluruh kepada para petani di negeri ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kerjasama strategik ini merupakan antara langkah penting dalam memperkukuh keupayaan komuniti tani di negeri ini.

“Kerjasama strategik ini menawarkan penyelesaian kewangan yang dapat memenuhi keperluan komuniti tani di Sarawak.

“Melalui sokongan perniagaan, Agrobank berhasrat untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai usahawan dalam industri agromakanan, seterusnya menjamin kelangsungan agenda keterjaminan makanan negara,” jelasnya dalam kenyataan media hari ini.

Majlis menandatangani MoU tersebut diadakan sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Agrobank Wilayah Sarawak di sini, hari ini. Ia disaksikan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan Agrobank bukan sekadar tertumpu kepada pembiayaan asas, malah merangkumi seluruh rantaian nilai dalam ekosistem pertanian.

“Pembiayaan yang ditawarkan Agrobank menjurus kepada aktiviti pertanian yang mampan.

“Ia merangkumi spektrum aktiviti pertanian yang luas, dari mekanisasi dan pertanian pintar yang berkaitan dengan ekonomi digital, pemprosesan berasaskan pertanian, inisiatif bioteknologi, operasi ternakan, hinggalah kepada usaha agro-pelancongan,” katanya lagi.

Melalui kolaborasi ini, Agrobank dan PPNS menyasarkan pertumbuhan yang lebih seimbang dan inklusif di kalangan petani tempatan, sekaligus menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negeri dan negara menerusi sektor agromakanan. – TVS