News

 

14,900 sudah mendaftar di bawah eTANI di Sarawak

Posted on 17 Jul 2024
Source of News: TVS

Pegawai Pertanian di Jabatan Pertanian Sarawak, Siti Nur Atiqah ketika ditemui TVS di Sarawak Agrofest 2024 hari ini. Foto TVS

BINTULU, 17 Julai: Sejumlah 14,900 orang petani telah mendaftar di bawah sistem eTANI  Jabatan Pertanian Sarawak setakat Julai 2024.

Menurut Pegawai Pertanian di Jabatan Pertanian Sarawak, Siti Nur Atiqah, sistem eTANI telah dilancarkan pada Julai 2023.

“Bagi Bahagian  Bintulu sahaja seramai 4,895 orang petani yang sudah mendaftar,” katanya ketika ditemui TVS di Sarawak Agrofest 2024 di sini, hari ini.

Tambahnya, sistem eTANI dikongsi bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dan ini membolehkan petani dan penternak memohon bantuan di bawah sistem yang sama.

Jelasnya lagi, sistem ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas yang terlibat dalam aktiviti pertanian, bantuan akan diberikan secara berfasa.

“Jadi untuk fasa satu, pertama sekali untuk orang yang memohon bantuan tanaman seperti biji benih, baja, racun, dan untuk orang yang memohon anak ikan.

“Sistem ini dikongsi bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak yang mana petani ataupun penternak yang ingin memohon anak itik, anak ayam, boleh memohon di bawah sistem yang sama dan untuk usahawan-usahawan kecil yang ada industri asas tani juga boleh memohon melalui sistem yang sama,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyeru para petani yang belum berdaftar di bawah sistem eTANI untuk melakukannya dengan  kadar segera bagi mengelakkan berlakunya keciciran dalam penyaluran bantuan pertanian.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat di sarawak.gov.my dan laman Facebook Jabatan Pertanian Sarawak. – TVS