Jadikan Stumbin jelapang padi Sarawak

Posted on 31 May 2024
Source of News: Suara Sarawak

RASMI... Shafizan memotong riben sebagai simbolik perasmian Rumah Biro Wanita Stumbin F pada Majlis Mantar Gawai di Rumah Florence Sayong, dekat sini.
 

LINGGA: Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli mahu melihat kawasan Stumbin dibangunkan sebagai jelapang padi utama bagi Sarawak.

Menurutnya, kerajaan mempunyai pelan untuk merealisasikan perkara tersebut.

“Sebanyak RM153.6 juta diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran fasa pertama di Blok C dan D dan di Skim Jelapang Padi Lingga/ Banting yang dianggarkan siap menjelang 2026.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga sedang dalam proses untuk melaksanakan projek pembinaan dan naik taraf infrastruktur tersier di Blok A dan Blok B, Stumbin dengan anggaran kos RM19 juta dan dijangka siap pada 2027.

“Sehubungan itu, besar harapan saya untuk melihat kawasan Stumbin ini dapat dibangunkan sebagai kawasan jelapang padi utama di wilayah Sarawak bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan dan menambah baik sosioekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan Majlis Mantar Gawai anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Batang Lupar dan Pusat Khidmat ADUN Lingga di Rumah Florence Sayong, dekat sini.

Beliau turut memaklumkan, pada sesi Dewan Rakyat lalu, KPKM telah menyiapkan dua projek dengan kos keseluruhan RM110 juta di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi pembangunan jelapang padi yang berkeluasan 1,500 hektar merangkumi kawasan Bijat, Stumbin, Gran dan Entulang.

Tegasnya, semoga dengan kerjasama baik antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan ketika ini, akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membangunkan infrastruktur pertanian di kawasan Stumbin yang merupakan sebahagian daripada Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar.

Menjelang sambutan Gawai Dayak, Shafizan menggesa ketua masyarakat dan ketua kaum untuk terus memupuk semangat Segulai Sejalai dan hidup berserakup dalam kalangan penduduk rumah panjang khususnya dalam kalangan golongan muda yang pulang ke kampung halaman.

“Gawai Dayak ini peluang terbaik mengeratkan silatulrahim.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di setiap rumah panjang wajar memainkan peranan aktif dengan menganjurkan pelbagai program dan pertandingan yang dapat memupuk semangat bersatu padu.

“Atas maksud tersebut, saya dan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor menyalurkan sedikit sumbangan kepada rumah panjang di DUN Lingga, bagi membantu memeriahkan lagi sambutan Gawai Dayak tahun ini,” ujarnya.

Beliau meluluskan RM10,000 kepada JKKK Rumah Florence Sayong.